Monday, 27 April 2015

Pengurusan Disiplin Pelajar (1)


                        Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar

   
                                                        
 1. Pengertian Hukuman

 Hukuman boleh diertikan sebagai kuasa mengenakan hukuman bagi sesuatu salah laku. Terdapat tiga unsur utama dalam pengertian hukuman :

i. terpenting sekali ialah pengertian hukuman melibatkan salah laku yang sebenar atau diandaikan berlaku. Ini merupakan hukuman yang bersifat memberi balasan kepada sesuatu kesalahan yang telah dilakukan.
hukuman hendaklah dikenakan oleh seseorang yang berkuasa ke atas yang dihukum.

Hukuman melibatkan sesuatu yang tidak menyenangkan dikenakan ke atas yang bersalah, ia boleh jadi tindakan fizikal bersifat positif yang menyakitkan, atau menafikan sesuatu yang disukainya.

 Hukuman dalam Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar dan Guru ialah Pembuangan Sekolah, Penggantungan Sekolah, Hukuman Dera ( Corporal punishment ), Penahanan (detention) dan Amaran.

 
2. Pengertian Pembuangan Sekolah

 Hukuman yang boleh dikenakan ke atas mana-mana murid yang didapati bersalah bersabit dengan mana-mana kategori salah laku berat selaras dengan Peraturan-peraturan Pelajaran. (Disiplin Sekolah) 1959.

Seseorang murid yang telah melakukan salah laku atau tingkah laku yang mengganggu berulangkali dan didapati tidak berubah selepas tindakan memulihnya diambil oleh Pengetua / Guru Besar atau tingkah lakunya mendatangkan gangguan yang serius kepada murid-murid lain dan terhadap keseluruhan disiplin sekolah, tindakan yang sesuai diambil ialah mengarahkan pembuangannya dari sekolah.

 3. Pengertian Penggantungan Sekolah

 Hukuman penggantungan merupakan satu arahan di mana seseorang murid itu dilarang dari memasuki kawasan sekolah. Penggantungan adalah bersifat sementara sahaja dalam jangka masa yang berpatutuan sehingga tidak lebih 14 hari persekolahan.

 Dalam keadaan di mana seorang murid berkelakuan liar dan mengganggu sehingga perlu diasingkan dari sekolah manakala menunggu hasil siasatan mengenai cara yang paling sesuai untuk menghadapinya, Pengetua / Guru Besar berkuasa mengarahkan penggantungan persekolahan murid itu sehingga tidak lebih 14 hari.
Penggantungan yang dibuat kerana menunggu hasil sesuatu siasatan hendaklah dibezakan sebagai satu hukuman yang dijatuhkan oleh Pengetua / Guru Besar seperti diperbekalkan dalam Peraturan 8, Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.

Bila penggantungan dibuat sebagai tindakan menghukum peluang yang cukup untuk murid membuat penjelasan ( to show case ) hendaklah diberi.

 4. Pengertian Hukuman Dera ‘corporal punishment’

 Hukuman dera (rotan) boleh dikenakan (kecuali ke atas murid-murid perempuan) tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.

Dijalankan sebaik-baik sahaja sesuatu salah laku itu dilakukan oleh murid. Hendaklah dibuat setelah sesuatu salah laku telah dapat disahkan.

 Dijalankan oleh Pengetua / Guru Besar sendiri atau oleh seorang guru yang berdaftar yang telah diberikan kuasa secara nyata atau khas iaitu mengikut keadaan [Perkara 6 Ordinan Pelajaran, 1957, Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959].

Hukuman dera hendaklah dijalankan dengan menggunakan rotan ringan dan pukulan rotan hanya boleh dibuat pada tapak tangan atau di bahagian punggung yang berlapik. Hukuman dera ke atas pelajar perempuan dilarang secara nyata dalam [Perkara 5 Ordinan Pelajaran, 1957, Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959].


5. Pengertian Hukuman Penahanan ‘detention’


Hukuman penahanan adalah untuk mengawal murid-murid yang jahat (delinquent) supaya tingkah lakunya pada masa akan datang diharap dapat dipengaruhi dan dibaiki dengan cara menafikannya dari menikmati dan menggunakan masa lapangnya.

 Arahan penahanan itu hendaklah menentukan masa dan jumlah jam ditahan seseorang itu ditahan.

Kehadiran kelas penahanan mendatangkan kesan mencegah kepada murid berkenaan dan juga murid yang lain.
 Akiti penahanan hendaklah merupakan sesuatu yang berfaedah dan membina.

 

6. Pengertian Hukuman Amaran

 Hukuman amaran adalah sesuai apabila Pengetua / Guru Besar atau guru yang diberi kuasa setelah mempertimbangkan keadaan, jenis salah laku dan kelakuan murid yang telah melakukan salah laku itu, berpendapat bahawa adalah kurang wajar dikenakan hukuman yang lebih berat lagi.


Tindakan hukuman amaran merangkumi Amaran 1, 2, dan 3 bagi kategori salah laku ringan, Amaran dan Amaran keras bagi kategori salah laku sederhana dan Amaran Keras bagi kategori salah laku berat.


Sumber

Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia.





Pengertian Salahlaku
 

1. PENGERTIAN ISTILAH SALAH LAKU

 
Kesalahan-kesalahan yang dilarang dengan nyata adalah kesalahan-kesalahan seperti mana yang dibekalkan dalam Peraturan-peraturan Pelajaran yang sedia ada seperti mana Peraturan-peraturan Pelajaran Disiplin) Sekolah 1959. Kesalahan yang mana perbuatannya membahayakan keselamatan diri atau murid lain atau pihak lain dan melahirkan tingkah laku curang yang bertentangan dengan kehendak-kehendak peraturan dan matlamat yang hendak dicapai.

 Lebih kuat tujuan sesuatu perbuatan salah laku, lebih meningkat bahaya yang didatangkan, lebih kerap kesalahan berlaku atau lebih bersungguh-sungguh pelajar melakukan tingkah laku jenayah (curang) sehingga boleh mengganggu ketenteraman.

Lebih berat hukuman yang dikenakan setakat mana perbuatan itu membahayakan sehingga boleh dibuang sekolah.

 Beratnya hukuman yang dikenakan hendaklah jangan sampai tidak setimpal dengan salah lakunya.

 

2. SALAH LAKU KATEGORI SEDERHANA


2.1. PENGERTIAN ISTILAH

 Kesalahan yang mana perbuatannya boleh membawa kepada gangguan ketenteraman sekolah tetapi tidak sampai mendatangkan kemudaratan.

 Sekiranya lebih kerap kesalahan berlaku atau lebih bersungguh-sungguh murid itu melakukannya boleh membawa kepada ikutan oleh murid lain dan kemudaratan , keharmonian sistem pendidikan di sekolah.

 Lebih meningkat perlakuan negatif ini yang didatangkan maka lebih tingkat pulalah hukuman yang patut diberi sehingga boleh digantung persekolahan. Beratnya hukuman yang dikenakan hendaklah jangan sampai tidak setimpal dengan salah lakunya.


 2.2. PENGERTIAN ISTILAH

Kesalahan-kesalahan salah laku yang dinyatakan seperti mana yang dibekalkan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/1975. Salah laku yang dinyatakan dalam peraturan, misalnya membuat bising dalam darjah, berkeliaran ( loitering ) dan berbagai lagi perbuatan yang tidak diingini.

Salah laku dan kelakuan murid yang telah melakukan perbuatan salah laku dilihat sebagai kurang wajar dikenakan hukuman lebih berat lagi.

 Lebih meningkat perlakuan salah laku ini yang didatangkan maka lebih tingkat pulalah hukuman yang patut diberi sehingga boleh diberi Amaran Ketiga.

 Beratnya hukuman yang dikenakan hendaklah jangan sampai tidak setimpal dengan salah lakunya.


2.3. PENGERTIAN SALAH LAKU PONTENG SEKOLAH

 Di mana murid sekolah yang tidak hadir ke sekolah pada hari persekolahan rasmi tanpa alasan atau sebab-sebab bertulis atau lisan daripada ibu bapa atau penjaga atau doktor perubatan.

 Ponteng Sekolah Secara Berterusan atau Berturut-turut

Di mana murid sekolah telah tidak hadir ke sekolah secara berterusan atau berturut-turut tanpa alasan atau sebab-sebab bertulis atau lisan daripada ibu bapa atau penjaga atau pengesahan doktor perubatan selama 31 hari atau lebih.

 Ponteng Sekolah Secara Berkala

Di mana murid sekolah telah tidak hadir ke sekolah secara berkala atau berselang-selang hari tanpa alasan atau sebab-sebab bertulis atau lisan daripada ibu bapa atau penjaga atau pengesahan doktor perubatan selama 60 hari atau lebih.

 
2.4. PENGERTIAN SALAH LAKU PONTENG KELAS

 Di mana murid sekolah yang hadir ke sekolah telah tidak berada dalam kelas dalam satu-satu waktu pelajaran atau keseluruhan waktu Pelajaran.

Murid ini masih berada di dalam kawasan sekolah.

 
2.5. PENGERTIAN SALAH LAKU PONTENG ACARA RASMI

 Di mana murid sekolah yang tidak hadir ke acara rasmi sekolah yang dimestikan hadir sama ada di dalam sekolah atau di mana-mana di luar sekolah yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

 

Panduan Pengendalian Kes Salahlaku


GARIS PANDUAN PENGENDALIAN KES SALAH LAKU MURID


1. Pihak sekolah perlu mengambil perhatian perkara-perkara berikut supaya kes salah laku murid di sekolah dapat dikendalikan tanpa menimbulkan keraguan daripada mana-mana pihak.

 1.1. Setiap tindakan dan hukuman yang dikenakan ke atas murid hendaklah mengikut peraturan serta garis panduan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Tindakan dan hukuman tersebut hendaklah direkodkan dan sentiasa dikemas kini.

 1.2. Mengumumkan pelantikan guru disiplin kepada warga sekolah khususnya murid.

1.3. Hukuman yang dikenakan ke atas murid perlu bersifat mendidik. Hukuman tersebut mestilah tepat, adil, setimpal, tidak mendera dan tidak menjatuh maruah murid. Proses kaunseling hendaklah dilaksanakan ke atas murid sama ada sebelum atau selepas menerima sebarang hukuman.

 1.4. Buku Peraturan Sekolah hendaklah menyatakan dengan jelas unsur dan jenis hukuman supaya murid dan ibu bapa memahami operaturan-peraturan yang diguna pakai di sekolah.

1.5. Unsur provokasi yang memberi kesan negatif sama ada dalam bentuk pergerakan anggota tubuh badan ataupun kata-kata hendaklah dielakkan dalam membuat arahan kepada murid.

 1.6. Bagi kes salah laku ringan dan sederhana yang berlaku di sekolah hendaklah diselesaikan di peringkat sekolah. Walau bagaimanapun sekiranya kes tersebut melibatkan pihak luar maka hendaklah diselesaikan secara permuafakatan. ( Ibu bapa/ Penjaga/ PIBG / JKKK / Persatuan Penduduk / Pegawai Perhubungan Polis dan lain-lain yang berkaitan)

 1.7. Kes salah laku berat seperti melibatkan senjata, gangstarisme, kongsi gelap, dadah atau berupa ancaman keselamatan kepada guru, murid-murid dan warga sekolah yang lain hendaklah dilaporkan kepada polis.


2. Pertimbangan asas dalam menentukan sebarang hukuman ke atas murid:

2.1. Beratnya kesalahan : Lebih serius salah laku itu, maka beratlah hukuman yang akan dikenakan. Beratnya hukuman yang dikenakan hendaklah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

 2.2. Perwatakan dan latar belakang murid : Perwatakan, sejarah dan latar belakang murid yang melakukan salah laku disiplin perlu diteliti sebelum diputuskan sebarang hukuman.

 2.3. Kekerapan kesalahan : Lebih kerap salah laku murid atau lebih bersungguh-sungguh murid itu melakukannya maka lebih beratlah hukuman ke atas murid berkenaan.


3. Pengetua dan Guru Besar hendaklah mematuhi serta mengikut prosedur berikut sebelum hukuman dilaksanakan.

 3.1. Membuat siasatan yang menyeluruh dan teliti ke atas murid serta pihak lain yang terlibat setelah menerima aduan salah laku murid. Siasatan ini perlu dibuat untuk memastikan kebenaran aduan murid. Jika aduan itu benar, perkara- perkara berikut hendaklah disediakan :

 3.1.1. Laporan siasatan

 3.1.2. Pengakuan bertulis daripada murid berkenaan dan saksi

 3.1.3. Bukti yang cukup; dan lengkap

3.2. Memaklumkan kes salah laku murid kepada ibu bapa / penjaga.

3.3. Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin / Lembaga Disiplin Sekolah hendaklah dilaksanakan untuk meneliti setiap kes salah laku murid. Pengetua / Guru Besar hendakalah menilai laporan Jawatankuasa Disiplin / Lembaga Disiplin Sekolah dan membuat kesimpulan untuk menentukan sama ada kes tersebut bersabit ( wujud “prima facie”) atau tidak.

3.4. Jika wujud “prima facie”,pertuduhan hendaklah dibacakan dan surat pertuduhan hendaklah diberikan kepada murid yang terlibat. Murid diberi peluang untuk menjawab kebenaran pertuduhan terhadapnya.

3.5. Jika murid menafikan tuduhan tersebut maka hendaklah diberi peluang kepadanya untuk membela diri dan memberi bukti bahawa tuduhan yang dihadapkan kepada beliau tidak betul.

 3.6. Pengetua / Guru Besar membuat keputusan.

 3.6.1. Jika murid dapat membuktikan bahawa tuduhan yang dihadapkan itu tidak betul atau dia tidak bersalah, Pengetua / Guru Besar hendaklah membuat keputusan bahawa murid berkenaan tidak bersalah dan tiada hukuman ke atas murid berkenaan.

 3.6.2. Jika murid itu mengaku bahawa dia bersalah atau terbukti dia bersalah, Pengetua / Guru Besar hendaklah mengenakan hukuman ke atas murid berkenaan.
 4. Hukuman yang boleh dikenakan ke atas murid yang melakukan salah laku adalah seperti berikut :
 4.1. Hukuman biasa : rotan, denda, amaran dan penahanan.
 4.2. Gantung persekolahan
 4.3. Gantung asrama
 4.4. Buang asrama
 4.5. Buang sekolah
5. Sekolah perlu memastikan perkara-perkara berikut dilaksanakan bagi melicinkan pengurusan kes salah laku murid.
5.1. Ibu bapa / penjaga murid hendaklah dimaklumkan secepat mungkin setiap kes salah laku anak mereka.
 5.2. Pihak sekolah hendaklah memanggil ibu bapa / penjaga murid yang dikenakan tindakan gantung sekolah, gantung asrama, buang asrama atau buang sekolah untuk menyerahkan anaknya. Sekolah bertanggungjawab menghantar murid ke rumah jika ibu bapa / penjaga tidak hadir ke sekolah khususnya bagi murid yang tinggal di asrama.
 5.3. Pihak sekolah mestilah tegas dan adil dalam mengendalikan kes salah laku murid. Setiap murid yang melakukan kesalahan mestilah dihukum. Setiap hukuman yang dikenakan ke atas murid hendaklah mengikut tatacara yang betul.
5.4. Pengetua / Guru Besar sahaja yang boleh menggantung atau buang sekolah dan surat-surat bagi hukuman tersebut mestilah ditandatangani oleh Pengetua / Guru Besar.
5.5. Semua surat yang dikeluarkan oleh sekolah berkaitan kes salah laku murid ini mestilah jelas dan tepat maksudnya supaya tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
 5.6. Pihak sekolah perlulah mengadakan permuafakatan dengan PIBG, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemimpin setempat dan pihak-pihak lain yang berkaitan supaya kes salah laku murid sekolah dapat ditangani secara holistik.
 5.7. Jawatankuasa Disiplin Murid dan Jawatankuasa Tadbir / Disiplin Asrama hendaklah berfungsi sepenuhnya dalam pengendalian kes salah laku murid di sekolah. Jawatankuasa PIBG sekolah hendaklah menjadikan isu disiplin murid sebagai satu agenda dalam mesyuarat dan perbincangan.
6. Pihak sekolah perlu menyediakan dokumen dan perkara-perkara berikut agar kesahihan hukuman ke atas murid yang melakukan salah laku tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
 6.1. Rekod Salah Laku Murid / Sistem Salah laku Disiplin Murid (SSDM)
6.2. Perancangan Strategik Peningkatan Disiplin Murid
6.3. Buku Peraturan Sekolah
6.4. Rekod Kehadiran Murid
6.5. Buku Catatan Kehadiran Murid Dalam Kelas / Diari Kelas
6.6. Laporan Guru Bertugas
6.7. Buku Catatan / Laporan Perhimpunan Sekolah.
6.8. Buku Catatan Pengumuman Sekolah
6.9. Rekod Perkhidmatan Kaunseling Murid
6.9.1. Catatan / Maklumat berkaitan panduan dan tatacara keselamatan murid semasa di sekolah atau mengikut aktiviti murid di luar sekolah.
7. Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjwab di atas, Pengetua / Guru Besar dan semua guru hendaklah sentiasa merujuk kepada buku dan dokumen berikut :
7.1. Akta Pendidikan
7.2. Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah) 1959.
7.3. Panduan Tatacara Disiplin Untuk Guru Besar dan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia, DBP, Kuala Lumpur, 1988.
7.4. Panduan Mengatasi Masalah Ponteng Di Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia, 1994.
7.5. Surat-surat Pekeliling Ikhtisas Berkaitan Disiplin dari tahun 1968 hingga sekarang ( yang masih berkuatkuasa )
8. Pihak sekolah bertanggungjawab melaporkan kes salah laku murid ( khususnya kes berat ) kepada Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.
8.1. Laporan lisan sebagai maklumat awal
8.2. Laporan rasmi pada hari pertama. Ketiga dan ketujuh menggunakan Borang PKP 04-3 ( 1-3-7 )
Senarai Tugas Guru Disiplin
  1.  Membantu guru besar merangka atau membuat peraturan-peraturan sekolah.
  2. Menentukan peraturan-peraturan sekolah dipatuhi sepanjang masa kegiatan aktiviti dijalankan sama ada di dalam atau di luar sekolah.
  3. Mengawasi ahli lembaga sekolah
  4. Menjadi penyelaras di antara guru dan guru besar di dalam hal disiplin murid-murid.
  5. Menjalankan hukuman disiplin sekirannya diwakili guru besar.
  6. Menjadi pegawai perhubungan di antara pihak sekolah dengan ibu bapa / penjaga di dalam masalah disiplin.
  7. Membantu guru besar menimbulkan semangat kesetiaan dan kekitaan di kalangan murid-murid dan guru-guru.
  8. Menerima laporan pengawas, guru-guru dan seterusnya mengambil tindakan yang sesuai.
  9. Bertanggungjawab ke atas imej sekolah dengan menentukan dan memastikan perlakuan murid-murid itu sesuai dengan peraturan sekolah dan kehendak masyarakat sekeliling.
  10. Berusaha menanam semangat patut dan taat setia kepada peraturan sekolah serta mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara.
  11. Menjalankan tugas yang diarahkan oleh guru besar.
  12. Mengadakan kempen kebersihan dan kempen hormat guru.
  13. Memastikan semua pengawas sentiasa dalam keadaan berpakaian kemas dan bersih.
  14. Mengatur jadual tugasan pengawas semasa guru-guru bermesyuarat/urusan-urusan lain.
  15. Mengadakan lawatan sambil belajar.
Surat Pekeliling Berkaitan


No comments: