Secara
amnya, jika pemimpin sekolah telah mematuhi segala arahan serta peraturan
semasa menjalankan tugas-tugas harian dan melaksanakan “kewajiban berjaga-jaga”
(duty of care) yang wajar, maka
beliau harus selamat dan telah dilindungi dari sebarang dakwaan yang mungkin
berlaku. Pemimpin sekolah juga perlu mahir mendapat kerjasama dan melibatkan
pihak ibu-bapa untuk menyelesaikan masalah sebelum ianya dibawa ke mahkamah. Pemimpin
sekolah perlu mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yng berikut bagi
meminimumkan risiko didakwa atau dipersalahkan.
1. Memastikan Keselamatan Persekitaran dan Fizikal
Sekolah
- Undang-undang menghendaki tuan punya premis (bangunan dan kawasan tanah) memastikan premisnya adalah selamat digunakan atau didiami oleh semua pihak yang mempunyai hak menggunakannya atau berada di situ.
- Jadi keadaan fizikal sekolah hendaklah sentiasa diselenggarakan dengan baik.
- Contohnya tangga dan serambi bangunan mesti mempunyai pelindung yang sesuai dan kukuh untuk memastikan tiada murid berkemungkinan terjatuh ke bawah. Siling yang setengah terjatuh dan bumbung yang bocor mesti dibaiki dengan kadar segera.
- Dalam bilik darjah, kipas, wayar elektrik uzur, kerusi lama dan lain-lain perlu diperiksa dari masa untuk memastikan keselamatan penggunaannya. Suis dan soket yang rosak mesti diganti.
- Semak-semak panjang di kawasan sekolah mesti di tebas untuk mengelak segala bentuk bahaya seperti menjadi tempat perlindungan ular yang boleh mendatangkan kemudaratan.
- Pokok juga boleh mendatangkan bahaya sekiranya ianya tumbang ditiup angin.
Dalam The Registration of Schools
Ordinance, 1950. Schools (General) Regulations, sekolah dikehendaki
memastikan bilik-bilik darjah memenuhi syarat-syarat seperti:
- spesifikasi keluasan,
- tingkap mencukupi untuk pengudaraan,
- ketinggian siling
- ruang yang mencukupi untuk setiap murid,
- cahaya yang cukup terang dan
- bilangan maksimum murid yang dibenarkan dalam setiap bilik darjah.
- Selain daripada itu, peraturan yang sama mengatakan bahawa pemimpin sekolah bertanggungjawab membenarkan pihak-pihak yang berhak sahaja untuk menggunakan premis sekolah.
Dalam kes Carmarthenshire County Council v. Lewis [1995], seorang murid berumur
empat tahun telah ditinggalkan seketika oleh gurunya. Murid tersebut keluar
dari kawasan sekolah dan menyebabkan suatu kemalangan jalanraya terjadi di mana
seorang pemandu lori mati. Akhirnya, pihak sekolah dipersalahkan kerana guru
tidak mengawasi murid dan sekolah juga dipersalahkan (vicariously liable) kerana gagal mengunci pintu masuk sekolah.
Kecuaian untuk memastikan keadaan sekolah selamat telah menyebabkan pihak
sekolah didakwa.
2. Memastikan Keselamatan
Sewaktu P & P Di Bilik Darjah
- Pengawalan kelas merupakan salah satu aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh seseorang guru sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kelas.
- Mengikut undang-undang common law, guru dikehendaki membuat penyeliaan yang munasabah (reasonable degree of supervision) ke atas murid-murid di bawah jagaannya sewaktu kelas berjalan.
- Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan beliau didakwa jika murid tercedera akibat kecuaiannya. Ini disebabkan guru merupakan individu yang bertanggungjawab dalam mengendalikan sesebuah pengajaran dan pembelajaran serta memastikan keselamatan pelajar.
Dalam kes Government of Malaysia &
Ors. v. Jumat Bin Mahmud & Anor., plaintif asal telah tercedera akibat
perbuatan nakal kawannya sehingga akhirnnya menjadi buta pada sebelah mata.
Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa pihak guru telah cuai dalam
penyeliaannya. Tetapi selepas rayuan dibuat kepada Mahkamah Persekutuan,
didapati bahawa guru berkenaan tidak boleh dipersalahkan kerana kecederaan yang
dialami oleh murid adalah akibat dari kemalangan yang tidak dapat diduga (not reasonably forseeable) oleh
seseorang dalam keadaan yang biasa.
3. Memastikan Keselamatan
Sewaktu Kelas Amali
- Semua makmal dan bengkel kerja amali mesti mempunyai peraturan bertulis yang diedarkan kepada setiap murid pada hari pertama mereka menggunakan makmal atau bengkel tersebut.
- Peraturan tersebut perlu diterangkan kepada murid oleh guru dengan jelas sehingga mereka betul-betul faham.
- Peraturan-peraturan tersebut juga perlu dipamerkan pada papan kenyataan setiap makmal atau bengkel dan
- diingatkan kepada murid dari semasa ke semasa.
Kelas-kelas amali atau kelas praktikal hanya boleh dikendalikan oleh guru-guru
terlatih dalam mata pelajaran yang berkenaan sahaja.
- Jika terdapat guru sementara, pemimpin sekolah mesti memastikan bahawa mereka tidak melakukan atau menyuruh pelajar melakukan percubaan-percubaan yang ‘berbahaya’.
- Pemimpin sekolah dengan bantuan Guru Kanan Sains harus menapis rancangan kerja guru-guru tersebut bagi kerja amali (Surat Pekeliling Ikhtisas No. 1/1974, bertarikh 8 Julai 1974).
- Selain daripada itu, guru-guru mesti memberi amaran terlebih dahulu kepada murid-muirid sebelum sebarang tunjukcara atau percubaan dijalankan dalam mana terdapat kemungkinan punca letupan atau bahaya.
Langkah-langkah
keselamatan yang lanjut dalam semua aspek pengurusan makmal misalnya:
- pengendalian silinder,
- paip dan saluran gas;
- suis, alat dan penghubung elektrik;
- pencegahan kebakaran;
- latihan kecemasan api;
- kelengkapan memadam api;
- penyimpanan bahan-bahan berbahaya;
- keadaan bilik-bilik makmal; dan lain-lain) adalah diberi dengan lengkap dan jelas dalam Surat Pekeliling Ikhtisas No. 1/1974.
- Pemimpin sekolah mesti memastikan semua guru sains mengetahui kandungan Surat Pekeliling Ikhtisas berkenaan dan mematuhi semua arahan dan panduan yang diberikan demi keselamatan semua pihak.
- Buku-buku panduan penyelenggaraan makmal yang berkaitan juga perlu difahami dan diguna sebagai panduan guru setiap masa.
- Sewaktu kelas amali dijalankan, guru-guru mesti menyelia dan mengawasi aktiviti murid-murid dengan rapi untuk memastikan keselamatan dijaga ke tahap munasabah di samping membantu menjayakan percubaan mereka.
Dalam kes
Mohamed Raihan Bin Ibrahim & Anor. v. Government of Malaysia & Ors.,
palintif pertama (seorang murid kelas Sains Pertanian) telah pun dicederakan
oleh cangkul yang digunakan oleh kawan kelasnya sewaktu mereka sedang
menjalankan kelas amali menyediakan batas sayur. Guru kelas tersebut telah
didapati bersalah kerana tidak memberi arahan dengan jelas kepada murid dan
tidak menyelia perjalanan kerja dengan munasabah. Ini bermakna beliau telah
gagal melaksanakan “kewajiban berjaga-berjaga” yang munasabah terhadap
anak-anak muridnya.
4. Memastikan Keselamatan
Kemudahan Sukan dan Kegiatan Ko-kurikulum
- Sukan dan kegiatan ko-kurikulum merupakan satu lagi punca kemalangan mungkin berlaku.
- Pemimpin sekolah hendaklah memeriksa dan memastikan bahawa segala kemudahan sukan dan permainan adalah dalam keadaan sempurna dan selamat untuk aktiviti-aktiviti ko-kurikulum tersebut dijalankan.
- Guru-guru mesti memastikan bahawa padang, gelanggang, dan alat-alat sukan yang baik dan sempurna sahaja digunakan semasa menjalankan aktiviti.
- Stor sukan mesti diselenggarakan dengan sempurna dan selamat mengikut segala arahan dan peraturan yang ada kerana alat-alat sukan dianggap berbahaya.
- Murid-murid hendaklah diajar dengan teliti supaya mereka tahu menggunakan alat-alat dengan betul dan selamat.
Dalam kes di
mana tiang gol mudah alih terjatuh, nyawa murid terkorban (belum dibicarakan
lagi di mahkamah). Ini menunjukkan dengan jelasnya alat sukan tersebut tidak
selamat digunakan dan mesti diganti dengan segera. Murid-murid juga perlu
diberitahu tentang segala peraturan dan arahan tentang langkah-langkah menjaga
keselamatan yang perlu diambil pada setiap masa.
Penjagaan rapi diperlukan
semasa aktiviti diadakan untuk mengelakkan insiden-insiden yang serius seperti
pelajar terlanggar tiang gol, terkena lontaran peluru, terjatuh dalam lubang,
dan lain-lain (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/2000; Surat Pekeliling Ikhtisas
Bil. 1/1995). Selain daripada itu, guru juga hendaklah:
(i)
mengambil kira faktor cuaca/ musim
supaya aktiviti yang dijalankan tidak mendatangkan bahaya.
(ii)
bertanggungjawab mengeluar, mengguna dan
menyimpan alat-alat sukan walaupun boleh dibantu oleh murid.
(iii)
memastikan semua alat sukan dan
permainan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum digunakan.
(iv)
Murid mesti mendapatkan kebenaran
bertulis daripada ibu bapa atau penjaga dan pemimpin sekolah untuk mengambil
bahagian di dalam aktiviti kokurikulum di luar sekolah dan mesti diiringi oleh
guru. Jika ada murid perempuan, maka guru pengiring perempuan mesti ada
bersama.
(v)
Memastikan keselamatan, kesihatan dan
kebajikan murid diberi keutamaan seperti makanan dan minuman dan lain-lain
lagi.
(vi)
Murid yang cedera, lelah dan berpenyakit
kronik tidak dipaksa dibenarkan/dipaksa mengambil bahagian.
(vii)
Menggalakkan pelajar mengadakan skim
perlindungan insurans yang sesuai.
(viii) Kawasan
dan kemudahan yang berbahaya seperti dewan gymn dan kolam renang mesti dikawal
penggunaannya dengan ketat.
(ix)
Melaporkan segala kemalangan yang
berlaku kepada pemimpin sekolah dengan segera untuk tindakan selanjutnya.
Dalam kes Silvadurai v. Government of Malaysia seorang murid terjatuh kerana
tersandung batu selepas turun dari bermain jongkang-jongkit. Murid tersebut
akhirnya mati akibat kemalangan tersebut. Hakim mahkamah memutuskan guru dan
pihak sekolah tidak bersalah kerana pelajar telah selalu dinasihati tentang
bahaya bermain jongkang-jongkit dan kecederaan yang diakibatkan oleh murid
berkenaan sebenarnya bukan disebabkan oleh permainan jongkang-jongkit. Ianya
merupakan satu kemalangan yang disebabkan oleh kecuaian murid sendiri.
- Walaupun guru dan pihak sekolah tidak dipertanggungjawabkan, tetapi kita mesti mengambil iktibar dari kes ini dan mengambil langkah-langkah untuk memastikan kawasan berhampiran kemudahan sukan dan permainan adalah bebas dari kemungkinan berlakunya kecederaan kepada murid-murid. Jika kerja pembinaan sedang dijalankan atau terdapat bahan pembinaan yang dilonggokkan, kawasan tersebut perlu dipagari dan dijadikan kawasan larangan. Murid-murid perlu diberitahu tentang bahaya di kawasan tersebut.
- Peraturan-peraturan dan panduan yang diberi dalam Surat Pekeliling 3/1984, Bil.7/1977, Bil. 7/1988, Bil 8/1995 dan Bil. 24/1998 berkenaan aktiviti kebudayaan, “walkaton”, penyertaan dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia(MSSM), dan penglibatan aktiviti-aktiviti anjuran agensi kerajaan dan swasta hendaklah diikuti bagi menjamin keselamatan pelajar-pelajar dijaga dan memastikan persekolahan pelajar-pelajar tidak terjejas.
5. Memastikan Keselamatan Trafik Di Kawasan
Sekolah
- Pelajar-pelajar sentiasa berada di kawasan sekolah dan mesti dilindungi dari kemalangan jalan raya.
- Terutamanya pada masa sebelum kelas bermula dan masa selepas kelas baru tamat setiap hari, ramai pelajar akan berkeliaran di merata tempat sekolah.
- Pemimpin sekolah perlu mengadakan satu sistem pergerakan trafik yang cekap dan sistem pengawasan yang sesuai untuk mengelakkan kemalangan berlaku.
- Kawasan sekolah biasanya terhad maka adalah baik sekiranya semua kenderaan ibu bapa dan bas sekolah dilarang masuk ke kawasan sekolah. Mereka dikehendaki mengambil pelajar-pelajar di suatu tempat yang sesuai di luar kawasan sekolah.
Dalam
kes Headmistress, Methodist Girls School & Ors. v. Headmaster,
Anglo-Chinese Primary School & Anor., sebuah bas sekolah telah melanggar
seorang murid dalam kawasan sekolah yang mana jalan-jalannya adalah sempit.
Keputusan hakim mahkamah menyalahkan pemandu bas dan pihak sekolah juga
dipertanggung-jawabkan bersama (vicariously
liable) kerana membenarkan bas tersebut memasuki kawasan sekolah tersebut.
Ini bermakna pemimpin sekolah perlu mengambil langkah-langkah yang wajar untuk
memastikan bahawa keadaan trafik di kawasan sekolahnya adalah selamat untuk
semua pihak, khasnya para pelajar.
6. Memastikan Keselamatan Kebakaran
Sentiasa Dijaga
- Kebakaran sekolah boleh diakibatkan oleh litar pintas, perbuatan jenayah (arson), kerja-kerja amali di makmal atau bengkel, kecuaian dan lain-lain lagi.
- Kebakaran yang berlaku di sekolah boleh mengakibatkan kerugian harta benda sekolah dan kehilangan nyawa.
- Untuk mengelakkan dari dakwaan berhubung dengan kebakaran sekolah, pemimpin sekolah perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengelakkan berlakunya kebakaran seperti menubuhkan:
- Jawatankuasa Pencegahan kebakaran sekolah;
- membuat pemeriksaan rapi terhadap sistem pendawaian elektrik;
- mengadakan hari / minggu pencegahan kebakaran; dan
- memastikan guru-guru makmal dan bengkel mematuhi prosedur pencegahan kebakaran di makmal dan bengkel masing-masing.
- Semua penghuni sekolah mesti tahu serta bersedia menangani masalah apabila kes kebakaran berlaku.
Langkah-langkah
persediaan menangani keebakaran termasuk memastikan alat-alat pemadam api dan
pencegahan kebakaran dalam keadaan baik dan boleh berfungsi pada setiap masa; mengadakan
demonstrasi memadam kebakaran dan mangadakan fire drill dengan melibatkan semua
murid, guru serta kakitangan sekolah (Rule
49, Schools (General) Regulations, The Registration of Schols Ordinance, 1950);
dan, menyediakan pelan keselamatan kebakaran di sekolah. Selain daripada itu,
pihak sekolah mesti mengawasi sekolah dengan rapi selepas waktu sekolah untuk
menghalang penceroboh masuk yang mungkin mengakibatkan kebakaran sekolah.
Arahan-arahan dan panduan yang diberi dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.
8/1978, Bil. 12/1989 dan Bil. 7/2000 hendaklah difahami dan dipatuhi oleh
pemimpin sekolah sekolah.
7. Memastikan Keselamatan Sewaktu Membuat
Lawatan
- Lawatan adalah aktiviti yang penting dalam kehidupan seorang pelajar. Malangnya risiko yang terlibat dalam lawatan adalah tinggi juga.
- Banyak kemalangan seperti terjatuh, kemalangan jalan raya dan mati lemas telah pun terjadi semasa pelajar-pelajar mengadakan lawatan.
Dalam kes Chen Soon Lee v. Chong Voon Pin,
seorang murid sekolah telah mati lemas sewaktu rombongan murid sedang bermain
bola dalam air di tepi laut. Oleh kerana guru besar dan guru-guru yang berada
bersama mereka telah mengambil langkah-langkah pengawasan yang rapi (beyond reasonable care) pada masa itu,
tuduhan kecuaian tersebut ditolak oleh hakim Mahkamah Tinggi Miri. Jelas
dilihat bahawa Pemimpin sekolah bertanggungjawab untuk memastikan guru-guru
tidak cuai dalam penyeliaan aktiviti-aktiviti pelajar semasa lawatan diadakan.
Segala langkah pencegahan berlakunya tradegi mesti diambil untuk melindungi
pelajar-pelajar semasa lawatan diadakan. Selain dari itu, pemimpin sekolah
harus memastikan guru-guru dan murid-murid sekolahnya mematuhi segala
undang-undang dan peraturan (Schols
(Tours) Regulations, 1957; Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/2000; Surat
Pekeliling Ikhtisas Bil.1/1995) berhubung dengan lawatan untuk mengelakkan
daripada dakwaan dan melindungi pihak sekolah sekiranya tuduhan dibawa juga ke
mahkamah sekiranya sesuatu kemalangan berlaku.
Di antara langkah-langkah pencegahan dakwaan yang boleh diambil oleh pihak
sekolah adalah seperti berikut:
(i) Kebenaran bertulis daripada ibu bapa
atau penjaga dan pemimpin sekolah untuk mengambil bahagian di dalam aktiviti
lawatan mesti diperolehi sebelum ianya diadakan.
(ii) Jika lawatan itu diadakan di luar
negeri asal sekolah, maka kebenaran dari Pendaftar mesti diperolehi sebelum
lawatan tersebut diadakan.
(iii)
Semua lawatan pelajar mesti
diiringi oleh guru. Jika ada murid perempuan yang menyertai lawatan tersebut,
maka rombongan tersebut mesti menpunyai guru pengiring perempuan. Pengawasan
oleh guru yang munasabah perlu dibuat sepanjang masa lawatan diadakan.
(iv) Maklumat dan arahan-arahan bertulis
yang diedarkan kepada pelajar dan ibu-bapa harus teliti dan jelas. Terutamanya
risiko yang terlibat mesti jelas dinyatakan.
(v)
Pelajar-pelajar membuat persetujuan
bertulis untuk berdisiplin baik sewaktu lawatan diadakan.
(vi) Pelajar-pelajar diberitahu bahawa
mereka perlu bawa keperluan persendirian yang mencukupi seperti minuman,
makanan, alat perlindungan dari cahaya matahari, dan lain-lain.
(vii)
Memberi taklimat kepada pelajar dan
ibu-bapa tentang lawatan yang akan diadakan.
(viii) Memastikan
pelajar dan ibu bapa telah memberi segala maklumat yang penting (misalnya
keadaan kesihatan pelajar) kepada sekolah sebelum lawatan diadakan. Pihak
sekolah mesti meminta maklumat tersebut daripada setiap ibu bapa pelajar secara
bertulis.
(ix) Jika perjalanan melibatkan
penggunaan kenderaan, pelajar-pelajar mesti diarah untuk memasangkan tali
pinggang keledar pada setiap masa.
(x)
Pihak sekolah mesti bersedia untuk
mengatasi segala kemalangan yang mungkin berlaku.
8. Memastikan Kebersihan Makanan dan
Kesihatan Murid Dijaga
- Peraturan Schools (General) Regulations, The Registration of Schools Ordinance, 1950 menghendaki pihak sekolah mementingkan aspek kebersihan, keceriaan dan kesihatan guru-guru, murid-murid dan kemudahan-kemudahan fizikal sekolah.
- Makanan dan minuman yang disediakan atau dibekalkan di kawasan sekolah, sama ada di kantin, di dapur sekolah atau pun makanan yang dibekalkan dalam Rancangan Makanan Tambahan dan Program Susu Sekolah, mesti bersih dan sesuai bagi menjaga kesihatan semua pihak.
- Keracunan makanan di sekolah kebelakangan ini telah melibatkan kanak-kanak sekolah amat membimbangkan. Punca keracunan makanan adalah daripada makanan yang siap masak dijual di kantin sekolah.
Pemimpin
sekolah sekolah perlu memastikan makanan di sekolah selamat digunakan oleh
semua pihak supaya tidak mendatangkan masalah kesihatan seperti keracunan
makanan.
- Pengurus sekolah perlu mengetahui dan memahami langkah-langkah keselamatan yang sepatutnya diambil untuk elak insiden keracunan makanan di premis mereka.
- Pelajar-pelajar perlu dinasihatkan tentang amalan kebersihan yang perlu untuk menjaga kesihatan diri sendiri.
- Pekerja dan pembekal makanan juga perlu mengamalkan kebersihan diri, alat-alat dan perkakasan makanan, bangunan dan kemudahan yang digunakan untuk menyediakan makanan.
- Kecuaian pemimpin sekolah sekolah memastikan langkah-langkah kebersihan diambil boleh mengakibatkan dakwaan yang tidak diingini.
[Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.
5/1995, Bil. 5/1988 dan 2/1983 adalah berkaitan.]
Bibligrafi
_________ (2002). Akta Pendidikan
1996 (hingga 25 hb Jun 2007). Petaling Jaya:
International Law Book
Services.
_________(1991). Contoh Kes-Kes
Tatatertib. Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan
Awam.
Mohd. Ismail Othman (2006). Undang-Undang
Untuk Pemimpin Sekolah & Pemimpin
Sekolah. Kuala Lumpur:PTS Professional.
Tie Fatt Hee (2002). Undang-Undang
Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit
Fajar Bakti.
http://www.scribd.com/doc/24367278/unit-1-pengenalan-sistem-perundangan-di-malaysia
No comments:
Post a Comment